BUTTERWORTH – Lelaki warga Myanmar yang bertindak mengorek keluar bebola mata kiri lelaki tempatan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa pada Sabtu lalu.
Tertuduh, Murtabis, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar, Mohamad Azrul Muhd Sobri.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati telah menyebabkan kecederaan parah ke atas M.Gunalan, 52, di tepi jalan Flat Rethina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini, jam 2 petang pada 16 November lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun serta denda.
Sementara itu, di mahkamah sama tertuduh turut mengaku bersalah atas dakwaan tidak memiliki pas yang sah mengikut undang-undang untuk masuk ke negara ini.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Simpang Tiga, Tasek Gelugor dekat sini, jam 3 petang pada hari sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan sebatan tidak lebih enam kali.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin tidak menawarkan jaminan susulan tertuduh bukan warganegara.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 Disember depan untuk lantikan jurubahasa Myanmar.
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki hilang bebola mata kiri dikorek suspek warga asing
Suspek korek mata lelaki tempatan disambung reman
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan polis sedang melengkapkan siasatan kes lelaki tempatan hilang bebola mata kiri akibat dikorek suspek warga asing dalam kejadian di tepi jalan Flat Rathina, Jalan Ara Kuda, Tasek Gelugor dekat sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati berlaku pertengkaran mulut antara mangsa berusia 52 tahun dengan suspek berumur 28 tahun sebelum berakhir dengan pergaduhan.
“Mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya. – MalaysiaGazette