KUALA LUMPUR – Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dari Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang yang dijangka beroperasi mulai 1 Mac depan bakal meningkatkan penggunaan pengangkutan awam sehingga 60 peratus di Selangor.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti, Ng Sze Han berkata, purata penggunaan harian pengangkutan awam di Selangor kini mencecah 1.1 juta penumpang dan jumlah itu akan meningkat apabila LRT3 beroperasi tahun depan.
“Ini termasuk perkhidmatan dikendalikan Prasarana Malaysia Berhad seperti LRT, MRT, Monorel dan bas.
“Projek pembinaan LRT3 yang menghubungkan kawasan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang juga akan memberikan impak positif terhadap peningkatan penggunaan pengangkutan awam,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Sze Han berkata, bagaimanapun, masih terdapat perkara perlu ditambah baik merangkumi penyediaan infrastruktur dan kesalinghubungan rangkaian pengangkutan awam di Selangor.
“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor begitu komited untuk mencapai sasaran 60 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2035.
“Kerajaan Negeri dalam perancangan menyediakan sebuah pelan pengangkutan awam yang komprehensif.
“Ia memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyediaan perkhidmatan jaringan pengangkutan menyeluruh dan memenuhi keperluan ‘First Mile, Last Mile’ kesalinghubungan,” katanya.
Menurut Sze Han, pelan ini tidak memberi fokus kepada mod pengangkutan sahaja, bahkan merangkumi ekosistem infrastruktur lain termasuk perhentian bas, hab pengangkutan awam, mikromobiliti, e-skuter dan laluan pejalan kaki.
“Pada masa ini, Terma Rujukan (TOR) untuk Kajian Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor sedang dalam peringkat akhir penyediaanya.
“Sesi bengkel bersama semua (PBT) Selangor dengan Jabatan Teknikal telah diadakan pada 1 hingga 4 Ogos 2024 bagi membincangkan TOR.
“Ia bagi memastikan kajian yang akan dilaksanakan menyeluruh serta mengambil kira dasar, strategi dan garis panduan berkaitan merangkumi peringkat negeri, negara dan antarabangsa.
“Ia turut memberi penekanan terhadap isu-isu pengangkutan awam yang dihadapi oleh setiap PBT dan memberi fokus kepada usaha Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan aksesibiliti kepada perkhidmatan pengangkutan awam lebih selesa dan efisien kepada rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette