PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan P. Tech Resources Sdn. Bhd. hanya perlu membayar denda RM480,000 atas lapan kesalahan pentadbiran melibatkan kualiti alam persekitaran Pasir Gudang, Johor pada 2019.
Syarikat itu didakwa atas lapan pertuduhan melibatkan kesalahan pentadbiran di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Mariana Yahya membenarkan rayuan syarikat itu dengan mengurangkan denda RM640,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara mengurangkan denda daripada RM80,000 kepada RM60,000 bagi setiap pertuduhan.
Pada prosiding itu, peguam, G. Subramaniam Nair yang mewakili syarikat tersebut memaklumkan, representasi yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) Ogos lalu diterima pada minggu lalu.
Perkara tersebut kemudian disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tengku Shahriman Tun Lah.
Subramaniam yang dibantu oleh S. Devika kemudian memaklumkan kepada wakil media bahawa baki denda yang telah dibayar akan dikembalikan kepada syarikat berkenaan.
Pada November 2023, Mahkamah Sesyen Johor Bahru mendenda P. Tech Resources RM40,000 bagi setiap pertuduhan selepas wakil syarikat itu mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.
Bagi pertuduhan itu, denda maksimum yang boleh dikenakan ialah RM100,000 setiap pertuduhan.
Pada Jun lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru bagaimanapun menaikkan denda kepada RM80,000 setiap pertuduhan selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan. – MalaysiaGazette