Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak menyekat mana-mana entiti menyertai Persidangan Pihak-pihak ke-29 (COP29) di Baku, Azerbaijan baru-baru ini.

Jelas Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, Malaysia mengamalkan pendekatan pendekatan “whole-of-nation” dalam menangani isu perubahan iklim.

Katanya, ini bermakna semua syarikat tempatan dalam persidangan itu terlibat dalam pelaksanaan dasar kerajaan terutama berkaitan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan yang menyumbang usaha mencapai sasaran iklim negara.

“Adalah penting untuk tiada sektor dalam negara kita dikecualikan daripada penyertaan atau tanggungjawab dalam perjuangan menentang perubahan iklim, termasuklah sektor swasta,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian menjawab dakwaan Rimbawatch bahawa Malaysia telah menghantar 151 delegasi yang mewakili kepentingan perniagaan menyertai COP29.

Di mana 44 daripadanya merupakan wakil syarikat yang mempunyai pelaburan signifikan dalam pengembangan bahan api fosil atau merupakan sebahagian daripada badan-badan perdagangan mewakilinya sekaligus menjadikan mereka sebagai delegasi korporat.

Pengkategorian syarikat bahan api fosil menurut Rimbawatch adalah seperti berikut: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan 17 penyertaan; Yinson (dua); Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) empat; Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) lima, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) satu dan Sarawak Energy Berhad (SEB), 14.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata Petronas sebelum ini telah memberi komitmen untuk berusaha mencapai sifar bersih menjelang tahun 2050 dengan melabur perniagaan-perniagaan baharu  melibatkan tenaga yang boleh diperbaharui dan rendah
karbon.

“Sementara itu, penglibatan TNB sebagai sebuah syarikat elektrik multinasional yang berpusat di Malaysia pula memainkan peranan utama dalam NETRS satu komponen utama dalam strategi sifar bersih negara menjelang 2050,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa delegasi korporat tersebut tidak terlibat dengan rundingan yang melibatkan ahli-ahli Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim.

“Ia hanya melibatkan negara-negara berdaulat. Hanya delegasi yang relevan daripada Kerajaan Malaysia bersama para perunding sahaja yang diberikan pas,” tambahnya.

Selain itu, Nik Nazmi turut menjawab dakwaan Rimbawatch yang mengatakan tidak ada sebarang wakil pertubuhan masyarakat sivil (CSO) yang diketuai oleh masyarakat Orang Asli dan  bersuara mengenai ehwal Sabah dan Sarawak meskipun diberikan pas limpahan bagi menghadiri persidangan tersebut.

“NRES ingin menjelaskan bahawa kebanyakan delegasi yang memegang pas Party Overflow Badges ini terlibat dalam program di bawah Malaysia Pavilion, yang merangkumi sejumlah 45 sesi selama dua minggu. Mereka juga turut menyertai pavilion-pavilion negara lain yang utamanya bertemakan peralihan tenaga dan menangani perubahan iklim dalam sektor tenaga.

“Harus diingatkan bahawa pendaftaran untuk pas limpahan yang diberikan kepada individu atau mana-mana entiti adalah berdasarkan konsep “first come, first serve” mengikut tarikh yang telah ditetapkan oleh UNFCCC. Pada masa yang sama, terdapat
juga had kepada jumlah delegasi yang ditetapkan oleh penganjur,” katanya lagi.

Menurutnya, NRES sentiasa menawarkan pas kepada ahli masyarakat sivil dan individu yang berminat untuk menghadiri peridangan itu.

Tambahnya, semakan awal oleh pihak Sekretariat mendapati bahawa hanya CSO berikut sahaja yang membuat permohonan: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), C40 Cities Climate Leadership Group, Malaysian Youth Delegation, Energy Action Partners, Global Environment Centre (GEC), Sahabat Alam Malaysia (ALAM), Youths United For Earth (YUFE), and Yayasan Hasanah.

Sehubungan itu, beliau berkata, isu-isu yang dibangkitkan oleh Rimbawatch tu tidak boleh dianggap sebagai sokongan kepada mana-mana agenda melebihi matlamat iklim negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast