NEW YORK – Pemindahan paru-paru berganda sepenuhnya menggunakan bantuan robotik berjaya dilakukan oleh Hospital NYU Langone, New York, Amerika Syarikat, menjadikan prosedur ini pencapaian terbaharu dalam dunia perubatan moden.
Prosedur inovatif ini direka untuk mempercepatkan pemulihan pesakit dan mengurangkan tempoh rawatan hospital.
Cheryl Mehrkar, 57, menjadi penerima pertama prosedur ini selepas menderita penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) selama lebih sedekad dan penyakitnya menjadi semakin teruk selepas dijangkiti COVID-19 hingga memaksa beliau menjalani pemindahan.
“Saya ingat detik yang mana seorang lelaki tua lebih cergas menaiki tangga berbanding saya dan ketika itu, saya tahu kesihatan saya semakin merosot,” katanya kepada agensi.
Menurut Cherly, hidupnya berubah sepenuhnya selepas penyakit itu menyekat aktiviti harian yang aktif sebagai jurulatih karate dan peminat motosikal,
Menurut Dr. Stephanie H. Chang, Pengarah Bedah Pemindahan Paru-Paru di hospital tersebut, prosedur pembedahan dilakukan melalui empat insisi kecil menggunakan robot yang mampu mengurangkan trauma pada dinding dada berbanding kaedah tradisional.
“Teknik ini meminimumkan risiko komplikasi dan mempercepatkan pemulihan,” ujarnya.
Sebelum ini, pada tahun 2022, teknik pemindahan paru-paru separa robotik telah diperkenalkan di Hospital Cedars Sinai, Los Angeles, diikuti dengan pemindahan paru-paru tunggal sepenuhnya di pusat kesihatan sama di Manhattan pada September lalu.
Prosedur ini bukan sekadar membuka lembaran baharu dalam teknologi perubatan tetapi juga memberikan harapan kepada pesakit lain yang memerlukan pemindahan organ.
Hospital NYU Langone kini bersedia untuk meluaskan penggunaan teknologi ini demi meningkatkan peluang pemulihan bagi lebih ramai pesakit di masa depan. – Agensi