Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh

MELAKA – Pemuda UMNO akan mengemukakan surat bantahan rasmi kepada kerajaan supaya tidak meneruskan arahan baharu waktu bekerja sektor awam ditingkatkan daripada 42 jam seminggu kepada 45 jam bermula 1 Disember ini.

Ketuanya Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh juga menyifatkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan baru-baru ini berisiko menambah tekanan kepada mereka yang bekerja dalam sektor keselamatan dan kesihatan.

https://malaysiagazette.com/2024/11/21/waktu-kerja-jururawat-kkm-45-jam-seminggu-munasabah/

Menurut beliau, ketika ini ribuan kakitangan yang bekerja secara syif dalam kumpulan ‘frontliner atau pun petugas barisan hadapan negara terdedah kepada risiko burnout.

“Sebagai frontliner yang bertugas menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat, mereka sudah sedia berdepan dengan cabaran tugas yang berat.

“Keputusan tambahan kerja tiga jam seminggu ini merupakan ketidakadilan kepada pekerja syif malah tidak mengambil kira realiti pekerja ini yang berbeza daripada amalan kerja waktu pejabat biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, kebajikan pekerja sektor awam, khususnya terlibat dengan perubahan ini perlu dijaga.

“Dalam usaha membangunkan negara, kebajikan dan produktiviti mereka yang membanting tulang di sektor awam mestilah diutamakan.

“Kami juga akan mengemukakan surat bantahan rasmi kepada pihak berkaitan untuk menegaskan pendirian ini,” tegasnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan beberapa pihak menyuarakan kebimbangan mengenai arahan baharu di bawah SSPA yang akan memerlukan jururawat di wad hospital untuk bekerja tambahan tiga jam seminggu.

Kesatuan Jururawat Malaya juga menyifatkan ia tidak adil membandingkan jururawat yang bekerja secara syif, termasuk tugas malam, dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja pada hari biasa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Kurangkan waktu bekerja boleh naikkan semangat pekerja -CUEPACS

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast