NEW YORK – Pengodam China melancarkan serangan terhadap sistem telekomunikasi Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan sebagai paling serius dalam sejarah AS.
Serangan itu mensasarkan komunikasi pegawai keselamatan negara, ahli politik, dan kakitangan mereka.
Pengerusi Demokrat, Senator Mark Warner, bekas eksekutif telekomunikasi berkata, impak serangan sangat teruk dan pencerobohan siber itu membawa ancaman ke tahap baharu yang memerlukan perhatian segera.
“Setiap penyedia utama telah diceroboh dan sasaran penggodam adalah mesej teks biasa dan panggilan melalui rangkaian telefon, walaupun aplikasi yang menggunakan penyulitan seperti WhatsApp dan Signal dilaporkan tidak terjejas,” katanya kepada agensi.
Beliau berkata, penggodam China menggunakan kaedah canggih untuk mengumpul metadata, termasuk nombor telefon, tempoh panggilan, dan lokasi kasar telefon bimbit.
“Walaupun mereka tidak dapat mendengar panggilan secara langsung atau membaca mesej berpenyulitan, maklumat ini cukup untuk menimbulkan kebimbangan serius,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mark berkata, China selama dua dekad telah dikaitkan dengan pelbagai aktiviti penggodaman dan pada awalnya, mereka fokus kepada kecurian harta intelek seperti reka bentuk cip dan pelan ketenteraan, termasuk pelan tindakan jet pejuang F-35.
“Sejak era pentadbiran Bush dan Obama, perhatian mereka beralih kepada pegawai kerajaan Amerika, termasuk mencuri fail keselamatan berjuta-juta rakyat,” katanya.
Tambah beliau, negara seperti Australia dan Britain telah memperkenalkan standard keselamatan minimum selepas menghadapi serangan serupa.
Sementara itu, usaha untuk menyiasat lebih lanjut dan mengenal pasti sejauh mana pencerobohan itu akan diteruskan bagi melindungi keselamatan negara. – Agensi