GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,000 kepada seramai 4,022 anggota perkhidmatan awam negeri.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika membentangkan Ucapan Bajet 2025 Pulau Pinang di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Kon Yeow berkata, pembayaran keseluruhan berjumlah RM6.88 juta itu akan dibayar bulan depan.
“Sebagai apresiasi kepada seluruh Anggota Perkhidmatan Awam Negeri, sukacita saya umumkan BKK berjumlah setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada anggota perkhidmatan awam negeri.
“Dalam pada itu, BKK sebanyak RM300 akan disalurkan kepada penyelia dan guru KAFA, guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR, SABK, guru tahfiz, guru pondok, guru tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang,” katanya. – MalaysiaGazette