Ramadhan Saifullah. Foto FB Kuching City.

KUALA LUMPUR – Kuching City FC masih belum selesa dengan bekalan satu jaringan untuk dibawa ke perlawanan kedua pusingan 16 Unifi Piala Malaysia selepas menewaskan Penang FC 1-0 semalam.

Ramadhan Saifullah muncul wira menjadi penjaring tunggal skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini dengan meledak gol pada minit ke-44 permainan.

Namun, Aidil merasakan masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki di perlawanan kedua nanti pada minggu hadapan bagi memastikan slot suku akhir menjadi milik mereka.

Baginya, aksi separuh masa pertama lebih baik sebelum pasukan tuan rumah mengubah corak perlawanan sekali gus menyaksikan Kuching City hanya membawa pulang bekalan satu gol sahaja ke Stadium Negeri.

“Syukur Alhamdulillah untuk kemenangan ini dan saya beri pujian kepada semua pemain sebab malam ini (semalam) bukan perlawanan yang senang.

“Separuh masa pertama, kita masih bermain dengan baik ikut perancangan yang betul dan sebab itu kita dapat mencetak satu gol dan apabila Moses (Atede) masuk, sudah nampak beberapa peluang untuk kita cipta.

“Cuma lebih baik kalau peluang itu dapat diterjemahkan gol, tetapi inilah bola sepak dan yang penting kita tidak bolos.

“Mereka dah cuba yang terbaik dan kita tidak boleh selesa dengan keputusan ini, perlu perbaiki lagi kesilapan yang ada untuk perlawanan kedua nanti,” kata kepada Malaysia Football League di sini hari ini.

Sementara itu, pengendali Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail pula merasakan anak buahnya telah beraksi dengan cukup baik terutamanya di separuh masa kedua tetapi keputusan tidak menyebalahi mereka apabila gagal meraih sebarang jaringan di perlawanan pertama, semalam.

“Secara keseluruhan, saya boleh bagi pujian kepada pemain lebih-lebih lagi di separuh masa kedua. Bukannya mereka tidak beraksi bagus di separuh masa pertama, tetapi mereka banyak hilang bola di bahagian serangan, jadi saya ada buat sedikit pertukaran pada babak kedua untuk mereka mula cipta peluang.

“Namun mereka tidak berjaya untuk melakukan penyudah yang berkesan, apa pun saya puas hati dengan komitmen mereka dan semangat juang sehingga 90 minit perlawanan”, katanya.

Seterusnya, Penang FC akan berkunjung ke Stadium Negeri, Kuching untuk perlawanan kedua pusingan 16 pada 30 November depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here