Seorang anggota polis didakwa kerana mencuri barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 November 2024.

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri dua barang kemas daripada jasad seorang wanita yang ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta.

Tertuduh, Mohd Alifah Mohd Sapie membuat pengakuan itu di hadapan Majistret M S Arunjothy.

Mohd. Alifah yang sampai awal pagi tampil memakai ‘hood kepala’ dan pelitup muka bagi mengelak dirakam media kelihatan tenang ketika tuduhan itu dibacakan.

Mengikuti kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri rantai leher dan tangan milik si mati bernama Nur Farhana Nisha Syazwan yang meninggal dunia dalam sebuah kereta di tepi jalan Prima Setapak, Wangsa Maju pada jam 2.40 pagi, 1 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Ketika prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Vivi’Asnita Zaina’Larifin tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu tidak boleh dijamin namun tertuduh melalui peguamnya membuat rayuan.

Kata peguam tertuduh, Lavinia Raj, anak guamnya masih lagi mempunyai tanggunggan besar iaitu lima orang anak kecil antara dua tahun hingga 12 tahun.

Kata Lavinia lagi, pihaknya juga berharap satu jaminan kurang bernilai RM1,000 diberikan memandangkan anak guamnya hanya bergaji RM2,5000 dan perlu menjaga keluarganya yang ramai.

Hakim membenarkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 22 Januari depan.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan tangkapan empat anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal yang berusia lingkungan antara 28 hingga 35 tahun di sekitar Setapak, di sini untuk membantu siasatan berhubung kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu.

Ia susulan siasatan polis selepas menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan.

Pada awal siasatan, kes terbabit diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).

Namun ia diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan oleh polis hasil daripada beberapa keterangan saksi dalam kes tersebut. -MalaysiaGazette

Dalam kes ini polis berjaya membuat rampasan barang iaitu sekeping resit dan seketul logam berwarna kekuningan dianggarkan seberat 11.52 gram untuk membantu siasatan lanjut.-MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here