Ilyas Jamil menyempurnakan gimik pelancaran Program Tanggungjawab Sosial (CSR) - 'Merbau Berdarah di Tasik Chini' di Pekan pada hari ini.

PEKAN – Sebanyak 250 pokok spesies Merbau, Meranti Tembaga, Jelutong, Pulai, Melantai, Saga, Petai dan Keruing telah ditanam dalam usaha Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memulihara alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif PSM , Ilyas Jamil berkata, usaha tersebut dilakukan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial (CSR) – Merbau Berdarah di Tasik Chini hari ini.

“Ini bukan sekadar program CSR. Ia mengingatkan kita tentang komitmen negara berkenaan pelepasan gas rumah hijau serta sokongan berterusan Sifar Karbon Bersih (Net-Zero Carbon).

“Pada masa yang sama, acara ini juga selari dengan ‘Kempen Penanaman 100 Juta Pokok’ yang bermula pada tahun 2021 dan telah mencapai 99.52 peratus penanaman pokok sehingga bulan ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Ilyas, pokok merbau dipilih kerana tumbuhan yang dikenali  Intsia Palembanica itu telah dinamakan sebagai pokok kebangsaan pada tahun 2019.

Ia dilakukan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan kekayaan biodiversiti negara.

Pokok  Merbau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan industri, ekonomi serta kesejahteraan negara selain penting dalam pembinaan dan penyelenggaraan stadium.

Kerja-kerja menaik taraf lantai Stadium Juara di Bukit Kiara yang telah dilaksanakan sebelum ini melibatkan penggunaan bahan yang dihasilkan dari pokok Merbau.

“Dianggarkan 28 batang pokok Merbau telah digunakan untuk penukaran lantai di Stadium Juara. Dewan Sri Putra juga akan menggunakan lantai daripada kayu merbau tidak lama lagi,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pokok Merbau sesuai kerana kekuatannya dan ketebalannya boleh digunakan sebagai lantai fasiliti sukan selama 30 tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here