KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor masih menunggu laporan siasatan insiden simbah asid terhadap pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim sehingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Najwan Halimi bagaimanapun berkata, tiada maklum balas diterima dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Sehingga kini kita pun masih tidak mengetahui status beliau yang kali terakhir yang kita maklumkan oleh Speaker, beliau sudah menulis surat kepada pihak polis memaklumkan tentang usul yang dipersetujui secara konsesus dalam sidang yang lepas.
“Dalam surat itu, kita meminta siasatan menyeluruh dan meminta laporan siasatan berkenaan didedahkan kepada khalayak umum.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) yang ingin mengetahui status siasatan terhadap kes terbabit.
PDRM disarankan supaya segera mendedahkan siasatan terkini termasuk pelaku kejadian simbahan asid terhadap Faisal dan dua lagi pemain lain.
Perkara itu antara yang dibangkitkan dalam usul mengecam keganasan terhadap atlet Selangor yang diluluskan DUN Selangor selepas mendapat sokongan penuh daripada kesemua ADUN termasuk pembangkang.
Pada 5 Mei lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali. – MalaysiaGazette