PUTRAJAYA – Tindakan pemandu motosikal yang berulang alik mengangkut penumpang dari pengkalan haram sekitar Rantau Panjang, Kelantan menjadi petunjuk kepada Jabatan Imigresen sebelum menumpaskan kegiatan penyeludupan manusia.
Melalui operasi khas pada 20 November lalu, seramai 47 orang termasuk warga Thailand yang disyaki dalang kegiatan berjaya ditahan di sekitar kawasan berkenaan.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula 9 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Pasukan Taktikal
Khas Imigresen (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan.
Berdasarkan maklumat dan risikan selama dua minggu, pasukannya telah diatur gerak ke lokasi dan mengesan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
“Motosikal tersebut dilihat berulang alik mengangkut penumpang dari pengkalan haram ke lokasi van yang sedang menunggu penumpang.
“Pasukan operasi kemudian telah bertindak mengepung lokasi dan berjaya menahan van dan motosikal.
“Hasilnya, lapan suspek terdiri daripada enam lelaki Thailand termasuk dua berperanan sebagai dalang utama dan transporter manakala dua lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 67 tahun telah ditahan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah Zakaria, hasil pemeriksaan terhadap semua kenderaan, pasukannya menahan seramai 13 lelaki dan 22 wanita terdiri daripada warga Indonesia, dua lelaki warga Thailand, seorang lelaki warga Myanmar dan seorang warga Thailand berusia antara 20 hingga 58 tahun.
Pihaknya juga turut merampas 39 pasport terdiri daripada 35 pasport Indonesia dan empat Thailand, dua pas sempadan, tujuh unit telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM6,510, Rupiah Indonesia 706,000 dan Singapore Dolar 11.
“Imigresen turut menyita enam buah kenderaan terdiri daripada empat buah van Komuter Thailand, sebuah Naza Ria dan sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI.
“Siasatan lanjut kami mendapati modus operandi sindiket menyasarkan warga asing yang telah disenarai hitam dan ingin memasuki Malaysia dengan membawa masuk PATI ke Malaysia melalui pengkalan haram di Rantau Panjang ke destinasi di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan van pelancong Thailand.
“Setiap PATI dikenakan bayaran sebanyak RM3,000 hingga RM6,000 mengikut status kewarganegaraan masing-masing dan dipercayai baru beroperasi selama dua bulan,” ujarnya.
Dua lelaki warga tempatan dan enam lelaki warga Thailand ditahan bagi siasatan lanjut selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.26A Akta Antipemerdangan Orang dan Antipenyelupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Selain itu warga asing yang lain turut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette