KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan terhadap jejak kewangan melibatkan aset luar negara Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan keluarganya meskipun selepas kematian bekas Menteri Kewangan itu.
SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, siasatan turut melibatkan isteri Allahyarham, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan ahli keluarga serta tertumpu kepada perolehan aset-aset di luar negara.
“Penyelidikan jejak kewangan (money trail) di luar negara sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi-agensi antarabangsa,” demikian menurut kenyataan itu.
Rabu lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Allahyarham Tun Daim daripada pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan 70 harta dan satu akuan bank.
Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut Seksyen 254(3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) selepas pihak pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes terhadapnya.
Ujar kenyataan itu, siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) masih diteruskan.
Sehubungan itu, SPRM menyeru masyarakat agar tidak membuat spekulasi berhubung kes tersebut selain memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dengan lancar serta tanpa sebarang gangguan.
Agensi berkenaan mengeluarkan kenyataan itu bertujuan memperjelas dan membetulkan pelbagai dakwaan yang tidak berasas serta mengelirukan di media dan media sosial berkaitan isu tersebut.
Pada Februari 2023, SPRM telah membuka beberapa kertas siasatan berdasarkan maklumat yang ditemui dalam Kertas Pandora.
Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Isterinya pula didakwa pada 23 Januari atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah ibu negara.
Harta itu termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette