KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berjaya menahan 12 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi pada 21 November lalu.
Operasi itu telah dijalankan di sekitar Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kejadian berlaku sekitar jam 4.45 pagi ketika pasukan operasi sedang melakukan rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand itu.
“Ketika bertugas, mereka dapat mengesan dua pergerakan individu dipercayai tonto bersama 12 PATI lain yang cuba merentasi sempadan Malaysia.
“Semasa serbuan, 11 PATI berjaya ditahan manakala tonto dan seorang lagi warga asing berjaya melarikan diri. Namun, PATI yang melarikan diri berjaya diberkas semula pada jam 9.40 pagi hari yang sama,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua ditahan adalah warganegara Myanmar berumur antara 15 hingga 45 tahun dan dipercayai telah melintas sempadan pada sekitar jam 1.00 pagi.
“Nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM17,431 termasuk wang tunai berjumlah RM270.00, 727,500 Kyat Myanmar (anggaran RM1,758), 2,820 Baht Thailand (anggaran RM363.00), 13 telefon bimbit, dan dua motosikal jenis Honda RSX 150 serta Honda Wave 110.
“Kesemua suspek telah diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
TDM tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan atau penyeludupan.
Pasukan operasi akan terus mempertingkatkan kawalan dan rondaan di kawasan sempadan bagi membanteras jenayah rentas sempadan, terutamanya melibatkan PATI. – MalaysiaGazette