KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan ubat haiwan di kawasan Pengkalan Haram Simpangan, Tumpat, petang semalam.
Komandernya, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan itu dilakukan sekitar jam 3.30 petang semasa pasukan menjalankan rutin rondaan Op Taring Wawasan.
“Dalam rondaan, mereka mengesan beberapa bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan di kawasan pengkalan haram itu.
“Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai jenis ubat haiwan tanpa dokumen yang dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan,” katanya.
Nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM434,200.
“Semua barangan telah dibawa ke Komtak Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya oleh pihak berkuasa yang berkaitan namun tiada sebarang tangkapan dilaporkan.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” tambahnya.
Susulan itu, pihaknya akan menggiatkan lagi usaha untuk memantau dan menghalang sebarang aktiviti penyeludupan di sempadan negara dari terus berleluasa. – MalaysiaGazette