KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan program pengajian melalui mod Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL C) kepada semua pelajar diploma, ijazah sarjana muda, dan sarjana.
Bagaimanapun, ia tidak tersedia bagi program penyelidikan.
Pengarah Pusat Jaminan Kualiti UPM, Prof. Ir. Dr. Abd. Rahim Abu Talib berkata, mod pengajian itu ditawarkan selepas menerima akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Jelas beliau, akreditasi APEL C yang diterima UPM pada Ogos lalu membuka peluang kepada pelajar untuk menjadikan pengalaman kerjaya sebagai kelebihan dalam melengkapkan pengajian mereka.
“Inisiatif ini memberikan peluang kepada pelajar diploma, ijazah, dan sarjana untuk mempercepatkan proses pengajian tanpa perlu mengambil kursus tertentu.
“Proses penilaian adalah berdasarkan tugasan atau portfolio yang disesuaikan dengan pengalaman pelajar dan pengalaman kerja yang relevan boleh menggantikan kredit kursus tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, setiap pelajar yang berminat untuk mengikuti mod pengajian ini akan dibimbing oleh penasihat fakulti untuk memastikan permohonan mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Dengan pelaksanaan program APEL C, UPM terus memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang fleksibel dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat. – MalaysiaGazette