Seorang lelaki tempatan dan 15 NGO diberkas dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin, Johor Bahru awal pagi tadi

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan 15 wanita warganegara asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Taman Mount Austin di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan menerusi Op Noda tersebut dilakukan pada pukul 1.30 pagi.

“Menerusi serbuan ini kita menahan seorang lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai penjaga kaunter berusia 35 tahun dan 15 wanita warga asing berusia 20 hingga 34 tahun.

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut merampas barangan seperti sebuah mixer jenama Mpro, masing-masing satu unit speaker dan mikrofon.

“Ini termasuk tiga helai resit perniagaan serta tiga helai kain selempang RM200, RM300 dan RM1,314,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati premis itu disyaki menjalankan perniagaan hiburan tanpa lesen dan menggaji pekerja asing tanpa permit serta menyalahgunakan pas lawatan serta bekerja tanpa permit yang sah.

Menurut beliau, semakan lanjut mendapati semua tangkapan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Seorang suspek dikenakan reman selama dua hari bermula hari ini manakala 15 suspek lagi dibenarkan direman selama empat hari bermula hari ini,” katanya.

Jelasnya, semua suspek disiasat bawah Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 iaitu menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah dan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk serta berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah.

Turut disiasat katanya, bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor serta Seksyen 3(1) Undang-undang Keci Perlesenan, Perniagaan dan Perindustrian kerana menjalankan kerja tanpa lesen.

“Polis Johor komited dalam membanteras jenayah dan aktiviti tidak bermoral dan menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, kerjasama tersebut adalah penting dalam memastikan daerah ini kekal sebagai tempat yang selamat dan harmoni.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti tidak bermoral boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here