PASIR GUDANG – Semua Hakim dan Majistret perlu berani mengenakan hukuman berat dan maksimum kepada pemandu mabuk terutama yang menyebabkan kemalangan maut.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hukuman itu sebagai pengajaran kepada masyarakat terutama pemandu mabuk supaya tidak terlepas atau dikenakan hukuman ringan sahaja.
Justeru katanya, Hakim atau Majistret boleh memberikan hukuman lebih berat terhadap kesalahaan pemandu mabuk kerana terdapat pindaan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jelasnya, pindaan tersebut mendapat kelulusan di Dewan Negara serta Dewan Rakyat dan berkuat kuasa pada Oktober 2020.
“Kita telah meluluskan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 berhubung hukuman berat terhadap pemandu mabuk, semua Hakim dan Majistret memahami apakah hasrat Parlimen menaikkan hukuman itu.
“Tambahan pula kes ini mengakibatkan kematian. Jika tidak dapat beri hukuman maksimum pun, tindakan sewajarnya perlu dikenakan secara tepat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga kepada pasangan suami isteri yang maut dilanggar pemandu mabuk di Flat Taman Cendana di sini hari ini.
Sabtu lalu, pasangan suami isteri, Mohd Ridzwan Mohd. Rudi, 37, dan Linda Mohd A Aziz, 35, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Honda Vario yang dinaiki mereka dirempuh pemandu mabuk di Jalan Besar/ Jalan Mesjid di sini, kira-kira pukul 4 pagi.
Pasangan itu meninggalkan lima anak iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3.
Kesemua mereka ini kini di bawah jagaan datuk dan nenek sebelah keluarga bapa, iaitu Ramlah Kasiran, 56 dan suami, Mohd. Rudi Abdul Rahman, 61, yang bekerja sebagai pemandu forklift.
Berkenaan nasib keluarga pasangan berkenaan, Hassan berkata, pegawai penyiasat perlu menyediakan laporan siasatan lengkap dan menyeluruh untuk memastikan pelaku dikenakan hukuman setimpal.
Katanya, langkah tersebut bukan soal untuk mengheret pelaku ke mahkamah tetapi untuk memenangkan kes ini dengan laporan siasatan yang lengkap.
Beliau berharap, kes itu dapat disegerakan untuk dituduh di mahkamah sekali gus tidak mahu suspek terbabit terlepas hanya disebabkan faktor teknikal seperti kertas siasatan tak lengkap.
“Sebagai peguam, saya pernah alami perkara ini. Jadi, kita tidak mahu perkara ini berlaku,” ujarnya. – Malaysia Gazete