Graduan Ijazah Sarjana Sains Muda dengan Kepujian (Sains Sekitaran), Zal Hasmi Mohamad Roslan menerima anugerah daripada Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, Bangi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 NOVEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Ujian yang pernah dihadapi dalam hidup tidak pernah melunturkan semangat Zal Hasmi Mohamad Roslan.

Ia kerana graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Sekitaran) itu untuk bukan sahaja cemerlang dalam akademik malahan kokurikulum di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penerima Anugerah Tun Abdul Razak itu pernah menghidap kanser darah tahap empat seawal usia 15 tahun menyebabkan kecederaan kakinya tidak dapat sembuh seperti biasa.

Zal Hasmi Mohamad Roslan.

“Saya terpaksa berhenti sekolah selama setahun untuk menerima rawatan. Dalam tempoh itu, saya telah menerima 14 rawatan termasuk kitaran kimoterapi dan sesi radioterapi.

“Namun saya tidak pernah putus asa. Sebagai anak tunggal, saya tidak boleh sedih dan terus kuat. Kalau saya lemah, siapa yang akan jaga ibu bapa?,” soalnya.

Lelaki berusia 25 tahun itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Dewan Canselor Tun Abdul Razak hari ini.

“Saya berasal dari keluarga sederhana di mana ayah merupakan pemandu teksi dan ibu bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta.

“Oleh itu, saya selalu berazam untuk beri yang terbaik kerana anugerah ini merupakan anugerah dan pengiktirafan untuk ibu bapa yang sentiasa menyokong saya,” tambahnya.

Dua penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Sekitaran), Muhammad Yamin Mohd Sharohhuddin (kanan) dan Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Komunikasi Media), Preti Kaur Gill Jagjit Singh Gill (dua dari kanan).

Sementara itu, salah seorang Penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Yamin Mohd Sharohhuddin, 23, pula berkata perjalanan yang dihadapi sepanjang tempoh pengajian bukan mudah.

“Ada waktu di mana pencapaian akademik saya merundum teruk. Pernah juga saya rasa segala usaha saya adalah sia-sia tetapi saya sedar situasi ini tidak boleh berpanjangan.

“Apabila mula pengajian sarjana muda, saya berniat untuk tebus dan buktikan kebolehan diri saya,” katanya.

Usahanya membuahkan hasil apabila berjaya mendapat anugerah dekan untuk lapan semester, iaitu sepanjang tempoh pengajiannya.

Pelajar Ijazah Sains Sarjana Muda dengan Kepujian (Sains Sekitaran) itu juga berpegang kepada prinsip ‘memberi untuk menerima’.

“Kini, saya aktif menjadi sukarelawan untuk membantu anak-anak yatim di Pusat Jagaan Amal Kanak-Kanak Yatim/ Miskin Rukaiyah Selangor.

“Malah saya percaya ada diantara doa-doa anak yatim ini diangkat dan menjadi asbab untuk saya cemerlang hari ini,” tambahnya.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Preti Kaur Jagjit Singh Gill pula semakin menyerlah dalam dunia penyiaran dan hiburan.

Gadis manis berumur 23 tahun yang berasal dari Terengganu itu menerima banyak tawaran untuk muncul dalam drama  televisyen dan turut terpilih sebagai finalis dalam bidang penyiaran radio.

Preti, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Komunikasi Media) memberitahu, banyak tawaran lain perlu ditolak kerana menganggap akademik masih lagi tumpuan utamanya sebagai seorang pelajar.

“Setelah tamat belajar, saya kini bekerja sebagai penolong penerbit di Media Prima. Sejujurnya, saya tidak akan sampai ke tahap ini tanpa sokongan keluarga terutamanya ibu bapa saya yang tak pernah putus memberi semangat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here