KUALA LUMPUR – Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir berkenan menubuhkan Kursi Diraja Canselor Tuanku Muhriz.
Penubuhan itu bertujuan untuk memperkukuhkan lagi penyelidikan dalam bidang perubatan khususnya mengenai penyakit tidak berjangkit.
Baginda juga berkenan dengan pelantikan Profesor Kardiologi dan Ketua Jabatan Perubatan Molekul dan Klinikal di Universiti Dundee, Dr. Chim C. Lang sebagai penyandang kursi berkenaan.
“Beta yakin dengan pengalaman meluas Profesor Chim C. Lang, akan dapat menjadikan UKM sebagai pusat rujukan utama di rantau ini dalam aktiviti penyelidikan dan perkongsian pintar berkaitan penyakit tidak berjangkit,” titah baginda pada Majlis Konvokesyen UKM ke-52 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) hari ini.
Pelantikan Chim juga merupakan satu keputusan tepat berdasarkan pengalaman beliau dalam bidang perubatan yang akan meningkatkan imej universiti dan negara.
“UKM kini berada di tangga ke-138 terbaik dunia dalam Qs World University Rankings dan di tangga ke-26 dunia dalam QS Asia University Rankings.
“Ini membuktikan universiti watan ini diiktiraf masyarakat antarabangsa. Namun beta berharap setinggi mana pun kejayaan didaki, asas penubuhan universiti ini akan kekal subur dihayati dan tersemat kukuh dalam jiwa warga institusi,” titah baginda lagi.
Tuanku Muhriz menambah, kecemerlangan hasil kesarjanaan ahli akademik UKM dalam menzahirkan keilmuan untuk membentuk pemikiran dan merungkai pelbagai isu yang melingkari bukan sahaja masyarakat negara tetapi dunia.
“Justeru beta mahu mengingatkan para ilmuwan untuk menyumbang kepakaran mereka dan berhujah melalui tatacara berhemah bersandarkan lingkungan disiplin keilmuan masing-masing,” titahnya. – MalaysiaGazette