JOHOR BAHRU – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membongkar perbuatan seorang pekerja kedai emas yang merakam aksinya mencuri sebentuk cincin emas di tempatnya bekerja di Taman Daya.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun itu ditahan semalam selepas semakan CCTV dilakukan.
Beliau berkata, semakan tersebut dilakukan majikannya bersama-sama suspek.
“Kejadian dilaporkan berlaku Sabtu lalu. Suspek yang diarah oleh majikannya untuk memasang CCTV didapati telah mencuri sebentuk cincin emas seberat 16.01 gram bernilai RM5,814.32.
“Suspek kemudian telah memajak cincin tersebut di sebuah kedai emas sekitar Johor Bahru dan memperoleh hasil sebanyak RM4,950,” katanya dalam kenyataan.
Raub berkata, bertindak atas maklumat, suspek ditangkap pada di Ulu Tiram semalam bersama-sama barang rampasan termasuk baju, seluar, kasut dan surat pajak gadai.
Katanya, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Suspek ujarnya, kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian curi boleh menghubungi terus di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan 07-218 2323.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.- MalaysiaGazette