PASIR GUDANG – Insiden tragis menimpa lima beradik yang sekelip mata menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka dilanggar pemandu mabuk Sabtu lalu, mendapat perhatian istana.
Isteri Pemangku Sultan Johor, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Bustamam mencemar duli melawat anak-anak kepada arwah Mohd Ridzwan Mohd Rudi, 37 dan Linda Mohd A Aziz, 35, di kediaman keluarga itu di Flat Taman Cendana di sini.
Kelima-lima beradik itu iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, (orang kurang upaya); Muhammad Ikmal Danish Abdullah, 15; Nur Shahkira, 14; Nur Shahmira, 12, dan Nur Aisyah Humairah, 3, kini dijaga datuk dan nenek mereka, Mohd Rudi Abdul Rahman, 60, dan isteri, Ramlah Kasiran, 56, di kawasan flat sama.
Selain bertanya khabar, baginda turut menyampaikan sumbangan kurniaan peribadi bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga ini.
Sabtu lalu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, motosikal Honda Vario dinaiki pasangan itu dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki mabuk di Simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini, kira-kira pukul 4 pagi.
Katanya, kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta Produa Alza dipandu lelaki berusia 34 tahun datang dari arah Jalan Besar menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang, ketika sampai di lokasi kejadian iaitu simpang empat lampu isyarat, pemandu tersebut meneruskan perjalanan dalam keadaan lampu isyarat merah menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang.
“Pada masa sama motosikal pasangan terbabit meneruskan perjalanan menghala ke bandar Pasir Gudang sebelum berlaku pelanggaran.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang dan pemboncengnya cedera parah serta meninggal dunia di tempat kejadian,” ujar Mohd Sohaimi.- MalaysiaGazette