SUBANG – Sebuah gudang elektrik telah musnah dalam satu kebakaran di Jalan TUDM-Kampung Baru Subang awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan awam mengenai insiden kebakaran itu sekitar jam 3.44 pagi.
“Bertindak atas panggilan kecemasan itu, seramai 29 pegawai dan anggota bomba yang dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong serta turut dibantu BBP Subang Jaya, BBP Sungai Buloh, BBP Petaling Jaya telah bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.
“Sejurus tiba di lokasi pada jam 4.06 pagi, pemeriksaan pasukan mendapati berlaku kebakaran melibatkan sebuah gudang elektrik yang berkeluasan 50×100 kaki persegi dan terbakar 70 peratus,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
“Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku akibat daripada kebakaran gudang tersebut.
“Kita sedang menjalankan siasatan menentukan punca kebakaran serta nilai kerugian yang dialami dalam insiden ini,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette