JAKARTA- Indonesia mempercepatkan pembangunan imbasan PET/CT dan rangkaian cyclotron bagi menyokong rawatan kanser.
“Sasaran kami adalah untuk memasang enam pengimbas PET pada 2024, sembilan pada 2025 dan satu lagi pada 2027.
“Ini adalah untuk memastikan semua pulau di Indonesia mempunyai akses kepada pengimbas PET,” kata Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin.
Tambahnya, bagi menyokong hasrat tersebut, Indonesia memerlukan rangkaian cyclotron yang berkebolehan untuk mengedar radiofarmaseutikal ke seluruh negara.
Setakat Ogos lalu, Indonesia mempunyai tiga kemudahan cyclotron di Hospital Dharmais, MRCCC Siloam Hospital dan Hospital Gading Pluit yang kesemuanya terletak di Jakarta.
“Peralatan ini sangat mahal dan tidak banyak hospital yang memilikinya namun ia mempunyai manfaat yang sangat besar.
“Dengan cyclotron dan pengimbas digital PET/CT, kita boleh mengesan pembesaran sel tumor dengan lebih tepat dan membolehkan pesakit meneruskan rawatan mereka secara domestik,” jelasnya lagi.
Menurut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diperolehi melalui Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa, kes baharu kanser di Indonesia pada 2022 dianggarkan sebanyak 408,661 dengan 242,988 kematian.
Sadikin berkata, angka tersebut dijangka meningkat jika usaha pencegahan tidak dilakukan secara signifikan.
“Kematian akibat kanser boleh dicegaj melalui rutin saringan, diagnosis awal dan rawatan berkualiti,” katanya.
Dengan itu menurut beliau, kerajaan sedang berusaha untuk menambah baik rangkaian perkhidmatan kanser dengan menyokong pembangunan teknologi berasaskan terapi kanser seperti radiotheraphy. -Agensi