Mohd Shahzihan Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyedari ada segelintir individu dan pihak yang menggunakan masjid atau surau yang menamakan kutipan infak mereka sebagai zakat.

Perbuatan sedemikian adalah suatu kesalahan dan penderma yang menderma atas niat zakat adalah tidak sah dan tidak melepaskan kewajipan zakatnya, kata Pengarah JAIS,  Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

“Pihak pentadbir masjid dan surau turut boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana melakukan kesalahan dengan menyebabkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah Majlis dilakukan oleh individu atau pihak terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd Shahzihan, JAIS akan bertindak tegas terhadap individu atau pihak yang memungut zakat di negeri Selangor tanpa tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAJLIS).

Ketegasan JAIS dalam perkara itu selaras dengan Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

JAIS turut mengingatkan perbuatan membayar zakat melalui atau kepada individu atau pihak yang tidak ditauliahkan sebagai pemungut zakat adalah suatu perbuatan yang tidak melepaskan kewajipan zakat yang wajib ke atas individu atau pihak yang mengeluarkan zakat tersebut.

JAIS, menurutnya, telah pun mengeluarkan arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf dan infak di masjid dan surau seluruh negeri Selangor melalui surat pekeliling bertarikh 11 November 2024 lalu.

Fatwa pada 7 Jun 2007 dalam perkara berkaitan Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian dan Qada’ Zakat, Jawatankuasa Fatwa telah menetapkan bahawa, “Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada
ekonomi umat Islam.

Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau ulil amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.

Kutipan zakat di negeri Selangor adalah sangat penting untuk sentiasa berada pada jumlah yang signifikan berdasarkan bilangan pembayar yang wajib menunaikan zakat di negeri Selangor kepada amil yang dilantik secara sah oleh MAJLIS.

Jumlah penduduk beragama Islam di Selangor yang melebihi 3.6 juta orang dan had kifayah fakir miskin yang meningkat memerlukan jumlah dana agihan yang turut menjadi tinggi.

“Sehingga September 2024, terdapat 71,000 keluarga asnaf fakir dan miskin yang berdaftar dengan Lembaga Zakat
Selangor dan memerlukan dana sebanyak RM 1.36 bilion untuk menyantuni mereka dengan pelbagai kaedah dan cara yang wajar.

“Jika dana zakat di negeri Selangor dikutip dan diagihkan dengan cara yang melanggari ketetapan yang dibuat, ia bukan sahaja mengundang implikasi undang-undang dan ketetapan hukum bahkan akan menyebabkan berlakunya keritisan dan kekangan dalam menjamin sustainability pembangunan rohani dan sosioekonomi dan umat Islam di negeri Selangor,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, umat Islam yang berkewajipan mengeluarkan zakat atau fitrah hendaklah memastikan hanya membayar zakat kepada amil yang dilantik oleh MAJLIS.

Dalam masa yang sama melaporkan kepada JAIS apa sahaja erbuatan yang disyakki melanggar ketetapan peraturan dan hukum yang dikuatkuasakan mengenai urusan membayar dan
pengagihan zakat di negeri Selangor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here