Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari), Mohamad Imran Mohd menerima anugerah daripada Canselor UKM, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, Bangi. Foto MUHAIMIN MARWAN, 23 NOVEMBER 2024

BANGI – Seorang graduan orang kelainan upaya (OKU) kerdil, Mohamad Imran Mohd Tarmizi berjaya membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk berjaya.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains Aktuari) berusia 23 tahun itu menerima Anugerah Tengku Ampuan Afzan dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke-52 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Mohamad Imran berkata, kejayaan itu tidak akan dapat dikecapi tanpa sokongan daripada mereka yang rapat dengannya terutama keluarga dan rakan-rakannya.

“Tak dapat dinafikan, keluarga adalah semangat utama saya. Saya ingat lagi waktu saya sekolah rendah, saya pernah tanya ibu saya kenapa saya berbeza dengan orang lain?

“Saya pernah rasa rendah diri kerana adik-beradik  lain semua dilahirkan normal. Namun ibu saya berkata, ini merupakan rezeki dari Allah dan sejak itu, saya perlahan-lahan cuba atasi dan mula bergaul dengan orang lain macam biasa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohamad Imran Mohd Tarmizi.

Anak bongsu daripada empat beradik itu bersyukur kerana dikurniakan rezeki dikelilingi rakan yang banyak membantunya sepanjang tempoh pengajiannya.

“Waktu sekolah rendah, saya pernah dibuli. Apabila saya sedang makan di meja semasa rehat, saya ditepuk kuat di belakang tetapi selepas ibu dan ayah saya menghubungi sekolah, ia akan kembali normal semula.

“Di sini, saya amat terharu kerana bertemu dengan ramai rakan-rakan yang sangat mengambil berat. Ada masa saya akan ditumpangkan naik motor atau kereta untuk ke kelas,” tambahnya.

Walaupun saiz badannya yang mungkin membataskan keupayaan fizikal namun Mohamad Imran sebenarnya wakil Perak untuk para badminton.

“Saya sangat aktif dalam permainan badminton. Kalau ada masa terluang di sini, saya akan bermain dengan kawan-kawan. Sebenarnya hari ini perlawanan tetapi disebabkan jadual bercanggah dengan konvokesyen, tiada rezeki untuk saya turun bertanding,” tambahnya.

Nasihatnya untuk para pelajar OKU lain supaya tidak berasa merendah diri.

“Kita harus kekal tabah dan terus kuat. Apa yang membezakan kita dengan individu lain hanyalah fizikal sahaja. Niat dan tujuan kita belajar di sini adalah sama iaitu untuk menggapai kejayaan,” ujarnya.

Selepas tamat pengajian, Mohamad Imran merancang untuk melangkah ke dalam industri perbankan.

Namun jika diberikan rezeki, dia ingin menyambung pelajaran dalam bidang yang sama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast