KUALA LUMPUR – Konsert penyanyi, Aina Abdul di Zepp Kuala Lumpur pada 27 Disember ini akan dinaik taraf menjadi acara tempat duduk sepenuhnya.
Beliau yang juga komposer berbakat besar berkata, keputusan itu dibuat bagi memberikan keselesaan dan suasana eksklusif untuk para peminat bagi Konsert Aina Abdul Imaji Tour itu.
“Konsep ini lebih dekat dengan jiwa saya selain mahu peminat benar-benar mendengar, merasai dan menghayati setiap lagu yang dibawakan.
“Saya berharap dengan perubahan yang dibuat menambah keterujaan kepada peminat serta penonton untuk menyaksikan persembahan demi persembahan yang bakal ditampilkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, Aina turut mengumumkan potongan eksklusif sebanyak 30 peratus untuk tiket di semua kategori bagi memberikan peluang kepada lebih ramai peminat untuk menyaksikan persembahannya.
Tawaran itu termasuk untuk dua lokasi lain yang bakal berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 14 Disember ini dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 11 Januari depan.
“Saya berharap tawaran ini akan membuka peluang kepada lebih ramai peminat untuk menyaksikan setiap detik persembahan saya,” katanya.
Bagi lokasi di Zepp KL harga tiket akan dijual bermula dengan harga RM288 sehingga RM6666 bagi VIP Box.
Untuk harga tiket di UMS dan UUM pula bermula daripada RM100 (CAT 2), RM150 (CAT 1) dan RM180 (IMAJI Zone).
Tiket boleh dibeli di laman rasmi www.ticket2u.com.my atau membuat pembayaran dengan menggunakan sistem Buy Now Pay Later seperti Atome dan SPayLater. – MalaysiaGazette