MARAN – Dua anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran cedera parah dalam kemalangan setelah kereta Honda City milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pikap di Kilometer 74.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur awal pagi tadi.
Ketua Polis Maran, Superindentan Wong Kim Wai berkata ketika kejadian anggota yang berpangkat koperal dan sarjan itu dilaporkan sedang bertugas dalam insiden jam 3.25 pagi itu.
Menurutnya pemandu kenderaan pikap juga mengalami kecederaan di dada dan kesemua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
“Koperal yang memandu kereta mengalami cedera parah pada bahagian tangan kiri berkhidmat sebagai jurugambar di bahagian siasatan jenayah.
“Manakala sarjan yang berkhidmat sebagai pegawai penyiasat di bahagian sama mengalami kecederaan di bahagian dada,” katanya.
Jelasnya siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku apabila kedua – dua mangsa yang dalam perjalanan dari IPD Maran ke Jengka 19 untuk menyiasat satu kes kemalangan.
Apabila sampai di lokasi nahas dan tiba-tiba datang kenderaan Hilux dari arah bertentangan telah hilang kawalan dan masuk ke laluan mangsa berlanggar secara depan dengan depan.
Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette