Lima jenazah termasuk tiga yang masih berbalut dengan kain kafan di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras, Terengganu terpaksa dikebumikan semula

KUALA NERUS- Lima jenazah termasuk tiga yang masih berbalut dengan kain kafan di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras di sini, terpaksa dikebumikan semula selepas dihanyutkan ombak hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Maras Mohd Isshamudin Ismail berkata tanah perkuburan yang terletak berdekatan pantai itu sudah lama diancam masalah hakisan terutama ketika musim tengkujuh.

Bagaimanapun, fenomena air pasang berserta ombak besar malam tadi menyebabkan lima kubur runtuh dan hanyut dibawa ombak besar.

“Kejadian disedari penduduk kampung yang datang kira-kira 9 pagi tadi. Selain jenazah, ada serpihan kain kafan, tulang, batu nisan dan kepuk yang jatuh ke dalam air laut.

“Tetapi penduduk berjaya bawa naik jenazah, kepuk dan kutip sebahagian kain kafan. Yang lain mungkin telah dihanyutkan ombak ke tengah laut,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Pengkalan Maras, di sini hari ini.

Mohd Isshamudin berkata waris terlibat telah dihubungi dan hadir untuk menyelesaikan beberapa urusan termasuk pemindahan jenazah yang dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Gong Walit, Mengabang Telipot di sini hari ini.

Menurut beliau, terdapat kira-kira 200 kubur yang perlu dipindahkan segera ke tempat lain berikutan masalah hakisan yang semakin teruk setiap tahun.

“Sebenarnya, pihak berwajib dah bina benteng untuk menghalang ombak dari terus ke tanah perkuburan. Tetapi benteng itu dah lama…dalam lima tahun. Dua tiga hari ini ombak kuat, benteng pun tak boleh nak tahan ombak besar.

“Kebanyakan kubur di sini adalah kubur lama…lebih 70 tahun. Tetapi jika musim hujan jenazah penduduk kampung akan tetap dikebumikan di sini kerana tapak kubur baharu digenangi air,” katanya.

Sementara itu, Mufti  Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata pihak Jabatan Agama Islam dan Hal Ehwal Agama (JHEAT) telah diberi kebenaran untuk menggali dan memindahkan beberapa kubur yang berpotensi dihanyutkan ombak dengan segera.

“Proses tersebut perlu dilakukan dengan penuh berhemah dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor ketika dihubungi berkata terdapat lapan kubur lagi akan dialihkan dalam masa terdekat bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Seorang waris, Siti Idayu Mohd Ali, 41, berkata dia dimaklumkan oleh penduduk kampung bahawa terdapat kubur yang hanyut pagi tadi.

Setelah tiba di tanah perkuburan berkenaan, wanita itu terkejut kerana melihat keadaan kain kafan ibunya Rosnani Ngah yang meninggal dunia pada 2012 masih elok dan utuh berikat.

“Emak saya meninggal dunia ketika berumur 48 tahun akibat demam dan cirit-birit. Saya tidak sangka walaupun telah 12 tahun meninggal dunia tetapi kain kafan arwah masih elok,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here