AMPANG – Kelulusan kuota tambahan sebanyak 24,500 pekerja asing di negara ini bagi membantu industri-industri yang terlibat dalam sektor perladangan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata kuota khas itu penting bagi memastikan sektor perladangan jelas memerlukan pekerja-pekerja asing bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja yang berterusan.
“Sektor pembuatan, sektor perkhidmatan dan sektor lain tidak ada kuota khas ini. Tidak ada lagi. Semua sudah dibekukan kecuali sektor perladangan.
“Jadi, 24,000 ni adalah kuota yang kita rasa berkurangan untuk kita bantu industri-industri yang terlibat dalam perladangan, khususnya sawit,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Restoran Sambal On Fire di Ukay Perdana, hari ini.
Turut hadir Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.
Dalam pada itu, Johari menegaskan majikan di sektor perladangan perlu mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia dalam membawa masuk pekerja asing.
“Semua pekerja asing mesti memenuhi syarat, termasuk menyediakan tempat tinggal yang sesuai serta mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM). Ini adalah syarat utama yang mesti dipatuhi,” katanya.
Tambah Johari, pihak industri disarankan agar sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan untuk memastikan kelancaran operasi dan kebajikan pekerja dijaga.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa sebelum ini di Dewan Rakyat berkata kelulusan kuota tambahan itu adalah untuk 143 syarikat dalam sektor perladangan.
Kelulusan sekali sahaja ini bertujuan membantu majikan dalam sektor tersebut mengatasi cabaran tenaga kerja semasa. – MalaysiaGazette