KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam meminta rakyat melihat kepada potensi besar yang dibawa balik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadakan lawatan rasmi ke lima buah negara, baru-baru ini.
Lokman berkata lawatan itu nyata membuahkan hasil apabila jumlah pelaburan sebanyak RM6 bilion yang diperolehi oleh pihak Petronas di Brazil dibawa pulang ke Malaysia.
“Lawatan rasmi ini dilihat bukan untuk tujuan peribadi, tetapi mengarah kepada satu agenda yang besar iaitu pemulihan ekonomi dan menggamit pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia,” katanya, hari ini.
Lokman berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muhammad Hilman Idham yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan selaras dengan Seksyen 29(3) Akta SPRM berhubung lawatan itu.
Dalam pada itu, Lokman berkata rakyat Malaysia harus berbangga dengan kejayaan yang dikecapi hasil lawatan rasmi tersebut.
Ini kerana lawatan ke Kaherah, Riyadh, Lima, Rio de Janeiro dan Doha ini telah berjaya memperolehi jumlah pelaburan yang besar iaitu RM12.8 bilion.
“Selain itu, lawatan ini juga adalah bagi memenuhi undangan dan mengadakan pertemuan rasmi denganĀ pemimpin-pemimpin kerajaan dari 19 buah negara disamping mengeratkan hubungan antarabangsa serta membuka jalan kepada peluang baharu untuk kemakmuran rakyat dan negara ketika landskap geopolitik dunia sarat dengan ketidaktentuan.
“Memandangkan lawatan selama 11 hari ini merupakan satu lawatan yang panjang dan sudah pasti menelan belanja yang tinggi, Perdana Menteri juga telah berkongsi atau memaklumkan di dalam Dewan Rakyat mengenai pengurusan dana kerajaan sepanjang lawatan ini berlangsung,” katanya lagi.
Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan Ahmad Fahmi Fadzil berkata kerajaan berjaya menjimatkan hampir sejuta ringgit membabitkan kos penerbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi rasmi dalam lawatan ke lima negara, baru-baru ini.
Kerajaan katanya hanya menanggung RM1.662 juta, berbanding RM2.5 juta jika menggunakan pesawat rasmi sedia ada.
Jelasnya, kerajaan membayar sepenuhnya untuk kos penerbangan Perdana Menteri bersama delegasi rasmi dan tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat. – MalaysiaGazette