GEOEGR TOWN – Pemantauan mengejut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan badan bukan kerajaan (NGO) Skuad Banteras di Pasar Borong Pulau Mutiara, Gat Lebuh Macallum di sini, hari ini membawa kepada pendedahan masih ada majikan menggajikan warga asing tanpa mematuhi syarat ditetapkan.
Pemantauan bermula jam 3.30 pagi itu mendapati rata-rata pekerja asing di pasar berkenaan masih bekerja meskipun permit sudah tamat tempoh selain permit tidak sah untuk sektor tersebut.
Ketua Skuad Banteras, Wong Kin Wai berkata, pemantauan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada penduduk tempatan yang gusar dengan lebih 5,000 warga asing di kawasan berkenaan.
Jelasnya, walaupun ia hanya pemantauan bersama pihak MBPP namun jelas menunjukkan ada dalam kalangan pekerja warga asing itu yang melakukan kesalahan dan dilindungi majikan tempatan.
“Bila kita tanya pekerja serta majikan mereka beri alasan tidak sempat perbaharui permit dan ada antara mereka yang mempunyai permit bekerja bagi sektor lain tetapi bekerja sebagai pembantu jualan di pasar itu.
“Terdapat juga majikan yang menggajikan pekerja pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Kita percaya sikap majikanmenggajikan pekerja asing ini yang melanggar syarat ini punca lambakan mereka di sini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati pasar berkenaan yang selalunya sibuk bertukar lengang sebaik kehadiran MBPP dan NGO tersebut.
Sementara itu, Ahli Majlis MBPP Abdul Latif Mohamad berkata, pihaknya akan lakukan perancangan semula dengan pihak berkuasa lain untuk mengambil tindakan lanjut berdasarkan hasil pemantauan tersebut.
“Nampak jelas keadaan yang berlaku, ada yang ‘tinggal sayur’ dan tutup kedai, jadi kita akan lihat semula perancangan serta akan babitkan tindakan bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain,” katanya. – MalaysiaGazette