KUALA LUMPUR- Polis Kuala Lumpur menyerbu sebuah hotel di Jalan Pudu, di sini kerana dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, hasil serbuan pihaknya berjaya menahan tujuh wanita warga asing yang terdiri daripada lima rakyat Indonesia dan masing-masing seorang warga Thailand dan Vietnam yang disyaki pelacur.
“Semua yang ditahan berusia antara 25 hingga 35 tahun.
“Antara barangan dirampas ialah 15 keping kondom, tujuh helai tuala mandi, telefon bimbit (10), tisu basah (1), botol gel pelincir (3) dan dua kad akses,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut beliau, modus operandi aktiviti persundalan itu adalah pelanggan memilih ‘teman’ melalui sebuah laman web khas sebelum membuat tempahan melalui panggilan telefon.
Serbuan menerusi Op Noda KL Strike Force pada 10.18 malam tadi turut mendapati pelanggar perlu membayar RM250.
“Bayaran dibuat kepada pelacur dibuat selepas selesai perkhidmatan. Pelanggan perlu membayar RM250 untuk perkhidmatan satu ‘shot’.
“Semua pelacur berkenaan tinggal di dalam bilik hotel berkenaan dan daripada bayaran RM250, wanita itu akan menerima RM120, manakala baki RM130 akan diberikan kepada penjaga.
“Kegiatan itu beroperasi daripada 12 tengah malam hingga 4 pagi setiap hari,” katanya yang memaklumkan tahanan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen. -MalaysiaGazette