MELAKA – Mayat seorang lelaki ditemukan terbaring dan berlumuran darah dalam bilik sebuah kolej swasta di Ayer Keroh, di sini kira-kira pukul 3.20 petang tadi.
Mangsa berusia kira-kira 40-an berasal dari Sabah itu dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu sebelum disedari rakannya.
Menurut sumber, lelaki itu yang merupakan pengawal keselamatan ditemui kali terakhir oleh rakannya ketika menghantar makanan kepadanya.
“Si mati mendapat cuti sakit selama dua hari pada Khamis dan Jumaat dan sepatutnya mulai bekerja hari ini namun tidak masuk kerja membuatkan rakannya curiga.
“Selepas berjaya membuka pintu bilik yang berkunci, mangsa ditemukan terbaring di lantai yang dipenuhi darah,” katanya
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di lokasi pukul 3.30 petang tadi mendapati polis sudah berada di lokasi kejadian.
Kenderaan pasukan forensik kemudian dilihat tiba pada pukul 4.20 petang sebelum beredar 40 minit kemudian.
Setakat pukul 6.35 petang ini, polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan kes penemuan mayat itu. – MalaysiaGazette