KLANG – Seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas disyaki terjatuh ke dalam laut semasa turun memancing ikan, Khamis lepas ditemukan lemas.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang terlibat dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT), menemukan mayat nelayan berkenaan di kedudukan 8.1 batu nautika Barat Daya Pulau Ketam, 10.45 pagi semalam.
Pengarahnya Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mayat Chia Hap Swa, 59 tahun, ditemukan dengan berpakaian lengkap baju hijau muda berseluar panjang.
Mangsa dilaporkan jatuh laut di posisi lebih kurang 7 batu nautika Tenggara Pulau Ketam, sekitar pukul 9.30 pagi, Khamis lalu.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa turun ke laut bersama rakan untuk menangkap ikan sebelum disedari terjatuh daripada vesel dan dipercayai lemas dibawa arus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi CARILAMAT telah ditamatkan pada pukul 1.15 tengah hari semalam.
Maritim Malaysia mengingatkan orang awam agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut terutamanya ketika Monsun Timur Laut sedang melanda negara. -MalaysiaGazette