KPDN Selangor menggempur restoran nasi kandar dan pasaraya di Sungai Buloh, 22 November lalu Foto KPDN Selangor

KUALA LUMPUR- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menggempur dua premis susulan video tular di platform media sosial Telegram Edisi Siasat dan WhatsApp berhubung tiga pekerja restoran nasi kandar yang didakwa membeli minyak masak peket subsidi 1kg di sebuah pasaraya runcit di Sungai Buloh.

Bagaimanapun menurut KPDN, pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua premis itu semalam, tidak menemukan salah laku seperti yang dipaparkan di dalam video tular berkenaan.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, operasi melibatkan tujuh anggota penguatkuasa berpakaian preman yang dipecahkan kepada dua pasukan.

KPDN Selangor menggempur pasaraya dan restoran nasi kandar di Sungai Buloh, 22 November lalu
Foto KPDN

“Kedua-dua pasukan di awal pemeriksaan membuat penyamaran dan memasuki kedua-dua premis bagi tinjauan. Hasil tinjauan awal, kedua-dua premis didapati berada di kedudukan jarak yang berdekatan di antara satu sama lain iaitu pada jarak walking distance sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, siasatan oleh pasukan yang menyerbu pasaraya runcit berkenaan mendapati wujud rekod pembelian oleh tiga pekerja restoran nasi kandar tersebut.

KPDN Selangor menggempur pasaraya dan restoran nasi kandar di Sungai Buloh, 22 November lalu
Foto KPDN

Ketiga-tiga pekerja itu masing-masing membeli dua peket minyak masak sahaja iaitu masih dalam had yang dibenarkan.

“Pemilik pasaraya percaya dengan had pembelian tersebut dibeli untuk kegunaan sendiri pelanggan.

“Pemeriksaan penyimpanan stok barangan kawalan berjadual turut diperiksa dan didapati pasaraya yang mula beroperasi sejak Mac 2024 ini memiliki dan menyimpan bekalan stok secara tidak melebihi kuantiti yang dibenarkan/ dihadkan.

KPDN Selangor menggempur pasaraya dan restoran nasi kandar di Sungai Buloh, 22 November lalu
Foto KPDN

“Pengurus pasaraya telah diberikan peringatan agar mematuhi peruntukan perundangan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dalam menjalankan urus niaga runcit khususnya melibatkan barangan kawalan berjadual,” katanya lagi.

Manakala serbuan ke restoran nasi kandar pula mendapati premis berkenaan tidak menggunakan minyak masak peket malah pasukan penguatkuasa yang menggeledah bahagian luar dan dalam premis tidak menjumpai sebarang stok minyak masak subsidi mahupun plastik pembungkus minyak masak.

Pemeriksaan lanjut hanya menemukan minyak masak botol 5kg sahaja di bahagian penyimpanan stok.

Pemilik restoran juga disiasat dan dirakam keterangan serta diarahkan untuk membuat deklarasi penyimpanan stok bagi barangan kawalan berjadual minyak masak dan gula.

KPDN Selangor menggempur pasaraya dan restoran nasi kandar di Sungai Buloh, 22 November lalu
Foto KPDN

Hasil daripada pemeriksaan di stor penyimpanan premis dan deklarasi rekod buku stok didapati hanya 10kg minyak masak jenis botol berat 10kg dalam simpanan semasa.

Pemeriksaan ke atas rekod lessen perniagaan juga menunjukkan premis mempunyai lessen perniagaan sah dan baharu beroperasi sejak empat bulan lepas pada tahun ini.

“Pemilik Restoran, lelaki warganegara berumur sekitar 40-tahun ke bawah telah diambil keterangannya bersama seorang lagi pekerja restoran yang tular di dalam video tular, merupakan warganegara Bangladesh memiliki passport yang sah.

“Berdasarkan keterangan yang direkodkan, pekerja tersebut mengakui membelinya untuk kegunaan sendiri di rumah sewanya,” katanya.

Menurut Mohd Zuhairi, KPDN Selangor memberi memberi advokasi dan peringatan kepada pemilik restoran supaya mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Bekalan, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan dan Akta Perlindungan Pengguna khususnya serta mana-mana perundangan yang sedang berkuatkuasa di bawah KPDN.

Orang ramai yang mahu membuat aduan boleh menghubungi KPDN menerusi:

  1. Aplikasi WhatsApp 019-848 8000
  2. Talian 03-8882 6088/6245
    3. Portal e-kpdn
    4. Aplikasi Ez-Adu KPDN

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here