KUALA LUMPUR – Empat negeri yang diterajui pembangkang menerima royalti jauh lebih tinggi daripada kerajaan demi kebajikan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, jumlah royalti yang diterima Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini sekali gus membuktikan kerajaan Pusat tidak bertindak atas dasar kepentingan politik.
“Bagi saya, kalau kita kumpulkan, lebih tinggi daripada jumlah royalti yang kita ambil. Tapi fakta itu, kadang-kadang tidak sampai di bawah.
“Sebabnya politiklah, tapi kalau soal kemiskinan, soal pendidikan, kesihatan kemudahan-kemudahan asas, kerosakan misalnya keruntuhan tebing Tasik Kenyir kita pertimbangkan dan segerakan (luluskan peruntukan) RM2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi TownHall sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) & Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau terbuka dan sedia berunding dengan Menteri Besar termasuk dari negeri pembangkang.
Tegas beliau, perbincangan boleh dijalankan secara baik dengan mengenepikan perbedaan politik.
“Bagi saya ini soal kerja dan soal kerjasama dengan kerajaan negeri cukup jelas.
“Kalau negeri ambik sikap postif ia memudahkan kalau ambik sikap bengis ia akan mempersulitkan,”katanya. – MalaysiaGazette