KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan badan antarabangsa itu mencerminkan dunia turut mengutuk penindasan rejim zionis terhadap rakyat Palestin.
“Keputusan ini menunjukkan masyarakat antarabangsa termasuk negara-negara Eropah semakin sedar akan kezaliman Israel. Namun pengaruh zionis di Amerika Syarikat sering menjadi penghalang utama melalui penggunaan kuasa veto,” katanya.
Abdul Hadi berkata demikian selepas merasmikan program Terengganu International Summit 2024 (TIS 2024) yang berlangsung di Duyong Marina & Resort sepertimana yang dilaporkan HarakahDaily.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, waran tangkap ke atas dua pemimpin rejim Israel itu adalah sesuatu yang wajar.
Beliau yang mengalu-alukan keputusan ICC itu berkata, tindakan badan kehakiman dunia itu berlandaskan hukum, bukti tentang kezaliman, penindasan dan pembunuhan berterusan oleh rejim zionis.
“Jadi kita alu-alukan keputusan itu dan setuju dengan tindakan bahawa kalau ada mana-mana lawatan dia (dua pemimpin Israel itu) ke luar (negara), (dia) harus ditangkap,” katanya semalam.
ICC pada Khamis mengumumkan waran tangkap telah dikeluarkan terhadap Netanyahu dan Gallant atas tuduhan jenayah perang yang didakwa dilakukan mereka di wilayah Palestin, termasuk Gaza.
Waran tangkap itu dikeluarkan ketika serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini memasuki tahun kedua, dengan jumlah kematian rakyat Palestin menjangkau kira-kira 44,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 103,000 lain. – MalaysiaGazette