JURU – Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera berkaitan aduan berhubung isu projek pelebaran Jalan Tok Kangar.
Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam kenyataan memaklumkan PDC kini dalam proses menamatkan kontrak projek tersebut dan akan melantik kontraktor penyiap bagi menyelesaikan baki kerja-kerja pembinaan di tapak.
Jelasnya, ia susulan kontraktor yang terlibat dengan projek pelebaran fasa dua telah kemukakan notis pada 24 Jun lalu dan memohon untuk membuat penamatan kontrak secara bersama.
“PDC komited untuk memastikan pelan ini dirancang dengan teliti bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya serta memastikan keselamatan semua pihak sepanjang tempoh pembinaan berlangsung.
“Tindakan yang akan diambil selepas notis penamatan dikeluarkan ialah kontraktor penyelenggaraan yang dilantik PDC akan mengambilalih untuk menyelenggara jalan tersebut sementara menunggu kontraktor penyiap memulakan kerja.
“PDC akan mengambil tindakan lebih proaktif untuk memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual baharu demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya hari ini.
Projek pelebaran Jalan Tok Kangar dilaksanakan dalam dua fasa yang mana fasa satu melibatkan pembinaan struktur jambatan baru sepanjang 275 meter.
Difahamkan kerja-kerja bagi fasa satu telah dimulakan pada 18 Januari 2016 dan telah disiapkan pada 12 Disember 2018.
Manakala bagi projek fasa dua pula ia melibatkan kerja-kerja pelebaran jalan dan menaik taraf jalan sedia ada dari persimpangan lampu isyarat Auto City (Jalan Perusahaan / Jalan Kebun Nenas) ke persimpangan Taman Seri Delima / Taman Delima Jati.
Semalam, lebih 50 orang penduduk mengadakan flashmob di Jalan Tok Kangar di sini bagi mendesak kerajaan negeri menyelesaikan segera semua permasalahan yang berlaku hingga menyebabkan kerja-kerja pelebaran laluan berkenaan tertangguh lama.
Mereka juga menuntut kerajaan negeri bertanggungjawab dengan memberikan pampasan kepada semua mangsa kemalangan terutamanya yang maut ketika menggunakan laluan berkenaan.
Satu memorandum turut diserahkan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof untuk membangkitkan isu berkenaan dalam sidang minggu depan. – MalaysiaGazette