Penyelaras Parlimen Hulu Selangor, Dr Sathia menziarah dan melihat keadaan mangsa renjatan elektrik di sekolah dalam Program Ziarah Prihatin baru-baru ini.

HULU SELANGOR – Seorang pelajar sekolah yang bertindak berani menyelamatkan rakan daripada renjatan elektrik dan mangsa kejadian mendapat perhatian Menteri Pendidikan melalui Penyelaras Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor merangkap Timbalan Setiausaha Agung PKR Pusat, Dr Sathia Prakash Nadarajan telah menziarahi dan melihat keadaan kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung itu di kediaman mereka.

Dr Sathia mewakili Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

“Dalam program ini sumbangan telah disalurkan kepada keluarga kedua-dua pelajar ini yang terlibat dalam insiden renjatan elektrik di sekolah dan mengalami kecederaan iaitu Muhammad Asri Rosli dan Syamil Fareez Johari. Masing-masing berusia 14 tahun.

“Menteri (Fadhlina) sendiri meminta saya mewakilinya untuk melawat dan menyampaikan bantuan menerusi Program Ziarah Prihatin ini.

“Saya optimis, bantuan ini serba sedikit membantu keluarga kedua-dua pelajar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyelaras Parlimen Hulu Selangor Dr Sathia menziarah dan melihat keadaan dua pelajar yang terlibat dalam kejadian renjatan elektrik di sekolah dalam Program Ziarah Prihatin ke rumah kedua-dua pelajar itu di Hulu Selangor baru-baru ini.

Muhammad Asri dari SMK Taman Bunga Raya 1 bertindak berani menyelamatkan rakanya dari kelas T2 Amanah daripada renjatan elektrik semasa sesi Pendidikan Jasmani dan ia mendapat pujian ramai.

Dr Sathia  turut melawat rumah rakan sekolahnya Syamil Fareez Johari iaitu mangsa renjatan elektrik yang diselamatkan dalam insiden di sekolah mereka pada 2 Oktober lalu.

“Akibat kejadian itu, beliau mengalami kecederaan lecur di bahagian tapak tangan setelah terpegang besi berhampiran tangga di sekolah semasa insiden berlaku.

“Saya dapat meluangkan masa kira-kira 40 minit bersama keluarga kedua-dua pelajar itu sambil mendengar situasi semasa mereka sebelum menyerahkan bantuan Ziarah Prihatin seperti diamanahkan oleh Menteri Pendidikan.

“Ini adalah usaha berterusan Program Ziarah Prihatin Kerajaan Madani dalam menghargai tindakan keberanian selain memberi sokongan moral kepada mangsa dalam kesukaran selain memastikan kebajikan rakyat terus diutamakan dan sentiasa dibela,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here