Dr Zulkifli merasmikan Dialog Perpaduan Malaysia Madani 2024 di Menara Tabung Haji, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Pelan pemulihan akidah ahli Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dirangka dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk memulihkan ahli yang tegar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pelan pemulihan juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi tujuan tersebut.

Menurut beliau, segala butiran mengenai isu GISBH perlu diteliti dan disemak terlebih dahulu oleh pihak berkuasa sebelum diumumkan kepada masyarakat.

“Program pemulihan akidah setakat ini berterusan dan akan dilaksankan secara sistematik dan teliti oleh semua pihak.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memainkan peranan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri.

“Saya perlu sahkan segala maklumat yang nak dikongsi perlu disemak dan diteliti, kita akan rujuk dengan pihak berautoriti.

“Kita sudah ada pelan pemulihan dan ambil kira aspek tersebut dan akan laksana pelan serta tambah baik dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Dialog Perpaduan Malaysia Madani 2024 di Menara Tabung Haji di sini hari ini.

Pada 14 November lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajarah agama Islam.

Pengerusinya, Datuk Nooh Gadut dilaporkan berkata, mesyuarat jawatankuasa itu yang bersidang pada 24 hingga 26 September lalu yakin dan berpuas hati dengan hujan serta fakta yang dikemukakan oleh penyelidik mengenai GISBH.

Nooh menjelaskan bahawa ajaran yang dibawa oleh Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan pengikutnya atau mana-mana pihak daripada syarikat, firma, pertubuhan atau kumpulan yang mempunyai kaitan dengannya atau mana-mana individu lain yang mempunyai ciri-ciri penyelewengan adalah sesat dan menyeleerng daripada ajaran Islam.

Ditanya mengenai jumlah bekas ahli GISBH yang sukarela hadir ke program pemulihan akidah dan sudah pulih, Zulkifli berkata, perkara iitu erlu dirujuk kepada pihak autoriti yang terbabit.

“Apa yang dimaklumkan dalam Parlimen dan dijawab oleh Menteri, itulah yang terkini yang dikongsikan mengenai isu GISBH.

“(Jumlah bekas ahli GISBH pulih) Perlu rujuk pihak autoriti, perlu disemak dan teliti,” jelasnya.

Sementara itu, mengenai program dialog anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Angkata Belia Islam Malaysia (ABIM) Johor dan WADAH Johor itu, Zulkifli berkata, itu adalah usaha baik dalam mengeratkan dan meningkatkan kefahaman serta saling mengenali antara pelbagai agama bagi mengukuhkan perpaduan di Malaysia.

“Kita akan mendengar perspektif dalam pelbagai agama untuk melihat Malaysia yang lebih bersatu padu.

“Seiring dengan hasrat Malaysia Madani, kita menyahut seruan itu untuk membina kefahaman yang lebih baik ke arah Malaysia yang bersatu padu dan gemilang,” katanya.

Menurut beliau, dengan penyertaan kira-kira 200 peserta pelbagai agama dan bangsa, membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu padu dan berhasrat meneruskan kerjasama murni itu bagi menggerakkan program dialog berkenaan ke seluruh negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here