KUALA LUMPUR – Az Zuha Group Travel & Tours (Az Zuha) sekali lagi diumumkan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1446H/2025M.
Pelantikan membuktikan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi terhadap syarikat pelancongan tempatan itu dalam menyantuni jemaah haji dengan penuh dedikasi dan profesionalisme.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Az Zuha, Abdul Malik Abdul Raman, pihaknya komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik disokong oleh usaha berterusan memperkenalkan pelbagai penambahbaikan dan inovasi setiap tahun demi memastikan pengalaman jemaah haji sentiasa ditingkatkan.
“Kami amat bersyukur kepada Allah atas amanah ini dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji atas kepercayaan yang diberikan kepada Az Zuha.
“Kepercayaan ini menjadi pemangkin untuk kami terus meningkatkan mutu perkhidmatan dan menyantuni para Dhuyufurrahman dengan penuh ihsan dan kasih sayang,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Malik turut memberitahu, Az Zuha telah mencatatkan prestasi cemerlang selama tiga tahun berturut-turut sebagai PJH hasil penilaian positif daripada pihak Lembaga Tabung Haji dan maklum balas jemaah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para jemaah haji yang telah memilih Az Zuha sebagai rakan perjalanan mereka pada musim-musim lalu.
Kata Abdul Malik, Az Zuha berazam untuk terus memperkukuhkan perkhidmatan, memastikan setiap jemaah haji dapat menunaikan ibadah dengan penuh ketenangan, keselesaan, dan keberkatan pada musim 1446H.
“Insya-Allah, kami akan terus melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin dan memastikan setiap langkah perjalanan bersama Az Zuha menjadi satu pengalaman yang penuh bermakna,” katanya. – MalaysiaGazette