Foto FB KDA FC.

KUALA LUMPUR – Penarikan diri oleh sebahagian pemain utama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ternyata bukan halangan buat skuad Sang Kenari bangkit menewaskan skuad Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-2 pada aksi pusingan 16 Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Darul Aman semalam.

Lebih mengejutkan ketua jurulatih Sang Kenari Nafuzi Zain adalah keputusan penarikan diri itu dibuat pada saat akhir sebelum beraksi memaksanya menggunakan hanya 12 pemain pada aksi pertama  di hadapan ribuan penyokong yang hadir.

Pada aksi itu KDA FC bagaimanapun berjaya bangkit dengan dua jaringan melalui ketua pasukannya Sony Norde dan satu gol sumbangan Sukhrov Nurulloev sementara KL City pula memperolehi gol melalui Ryan Lambert dan Jovan Motika.

Menurut Nafuzi, beliau tiada pilihan selain menagih kudrat baki 12 pemain sahaja sebaik mendapati sebahagian pemain memilih untuk tidak turun beraksi difahamkan berkaitan masalah tunggakan gaji yang masih membelenggu pasukan sejak beberapa bulan yang lalu.

“Saat akhir sebelum kami melakukan aksi memanaskan badan, ada keputusan daripada sebahagian pemain utama yang tidak ingin beraksi dan saya dapati hanya tinggal 12 pemain iaitu 11 pemain dan seorang pemain simpanan sahaja yang kami ada untuk menghadapi perlawanan ini.

“Saya berbincang dengan baki pemain yang ada kerana saya nyatakan saya perlukan pemain untuk beraksi. Akhirnya mereka membuat keputusan untuk turun bermain di mana itulah pemain yang kita lihat semasa perlawanan itu.

“Saya cuma bertawakal, berusaha serta berserah kepada Allah dengan apa yang kami termampu untuk menentang KL City yang saya anggap lebih lengkap berbanding kami. Kita dapat lihat mereka telah tunjukkan semangat berpasukan yang baik kerana kita tahu KL lebih baik dari segi fizikal, dan itu yang buat saya terharu, ” katanya memetik laporan Metro Online.

KL City FC.Di samping rasa syukur dan menghargai usaha kemenangan penuh bermakna pemainnya ini, Nafuzi bagaimanapun menyatakan beliau faham perasaan serta tindakan yang dialami pemainnya selepas menangani keadaan itu dengan tenang.

“Bagi saya, kami berbincang dengan baik dan saya memahami situasi serta keadaan yang mereka lalui.

“Jika kita nak salahkan pemain semua pun rasanya tidak adil tetapi apa jua tindakan mereka itu tetaplah satu kesalahan kerana hanya mereka yang memahami apa yang mereka rasa. Sebab itu saya hanya memberi pilihan untuk pemain sama ada mereka mahu beraksi ataupun sebaliknya.

“Kalau mereka tak boleh beri aksi seratus peratus, lebih baik mereka tidak bermain dan kita juga tidak mahu menghampakan semua termasuk penyokong yang datang. Kita nak pemain yang betul betul nak main,” katanya.

Seramai 12 daripada 20 pemain yang diturunkan pada perlawanan ini antaranya ialah Sony Norde, Sukhrob Nurullaev, Irfan Zakaria, Jose Cleylton, Kamil Akmal, Ebenezer Assifuah, Loqman Hakim, Aiman Afif, Hasbullah Abu Bakar, Wan Mohamad Syazmin dan Muhammad Akmal Hakim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here