Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berucap pada Konvensyen Negeri Selangor Parti Amanah Negara 2024 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2024.

SHAH ALAM – Ahli-ahli Parti Amanah Negara (Amanah) diseru supaya bangkit menangkis persepsi yang ditimbulkan pembangkang ketika ini yang mana kaum Cina akan menguasai negara sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus menjadi kerajaan.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, persepsi itu diperkuatkan lagi dengan dakwaan bahawa seramai 1.2 juta warga China dibawa masuk ke negara ini sebagai pengundi kepada PH.

Apa yang menyedihkan, ujar beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, persepsi dan fitnah itu diulang-ulang di pentas ceramah agama oleh ulama, oleh ahli akademik malah sehingga di mimbar ketika khutbah Jumaat.

Lebih menakutkan, tambahnya, fahaman takfiri iaitu tuduhan orang lain terkeluar dari Islam juga masih lagi dimainkan sedangkan ia merupakan fahaman sangat berbahaya kerana boleh membawa kepada pembunuhan.

“Fahaman dan persepsi ini amat berbisa dan ia boleh merangkap rakyat dalam satu ketika.

“Persepsi sebegini tidak memerluan fakta, mereka mainkan isu ini termasuklah sehingga kepada para intelektual di universiti.

“Maka, bila timbul isu seperti ini, umumlah Rahmah itu Rahmah ini (bantuan) atau kebajikan itu kebajikan ini sekalipun, rakyat lebih mementingkan untuk selamatkan Melayu, selamatkan Islam.

“Ini kerana otak mereka telah diperangkap dalam persespi yang ditanam ini,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Negeri Selangor Parti Amanah Negara 2024 di sini, hari ini.

Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuk gong sebagai simbolik perasmian Konvensyen Negeri Selangor Parti Amanah Negara 2024 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 24 NOVEMBER 2024.

Konvensyen bertemakan `Negeri Rahmah Rakyat Sejahtera’ itu turut dihadiri Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pandan Indah.

Mohamad menambah, PH pada pilihan raya umum lalu pernah menjadi mangsa permainan persepi pembangkang bahawa agama Islam dan orang Melayu akan terancam sekiranya gabungan parti politik itu berkuasa.

Akibatnya, ujar beliau, PH ketika itu kehilangan sokongan orang Melayu yang begitu ketara termasuk tewas di 22 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor selain langsung tidak berjaya memenangi sebarang kerusi DUN di Terengganu dan Perlis.

“Sebab itu saya harap setiap yang hadir hari ini, jawab di semua tempat… tak mungkin…(Cina akan menguasai dan ambil alih negara).

“kita kena jawab, kalau tidak merak akan terus menyerang, mereka serang pula di masjid, dalam kuliah dan ketika berkhutbah, jadi kita tidak boleh persoal ketika itu,” katanya. –  MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here