KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan lagenda muzik, Tan Sri Ahmad Nawab bukan sahaja seorang warisan seni malah allahyarham adalah pengikat perpaduan dalam masyarakat di negara ini.
Katanya, pemergian allahyarham adalah satu kehilangan permata seni yang mempunyai jasa besar dalam memperkaya landskap muzik tanah air.
“Saya menerima khabar pemergian Seniman Negara Tan Sri Datuk Seri Ahmad Khan Nawab Khan, dengan rasa dukacita yang mendalam.
“Tan Sri Ahmad Nawab bukan sekadar komposer dan pemuzik unggul, tetapi beliau adalah jiwa seni Malaysia yang telah menyentuh hati jutaan rakyat melalui karya-karya puitis yang penuh keindahan dan makna.
“Jasa Allahyarham akan sentiasa dikenang sebagai lagenda yang tiada galang gantinya.
“Takziah saya utuskan kepada keluarga Allahyarham. Mendoakan ruh Allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisi-Nya, Insya-Allah. Al-Fatihah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook malam ini.
Allahyarham Ahmad Nawab atau nama sebenarnya Ahmad Khan Nawab Khan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di sini, 3.15 petang tadi.
Menurut cucu allahyarham, datuknya tidak mempunyai penyakit kronik, namun, keadaannya lemah selepas dibenarkan pulang daripada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN