KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu membuang empat penyakit sekiranya mahu kembali kuat dan terus kekal dalam arena politik, kata Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Penyakit pertama menurut beliau adalah delusional iaitu khayal atau terawang-awang.
“Maaf saya cakap dalam BN ini, saya pun sama lah…penyakit khayalan ini bila mana kita percaya bahawa sokongan rakyat kepada parti (akan diberikan) kerana banyak berjasa dan bangunkan negara.
“Saya nak ingatkan, pengundi kita kini berbeza dan mungkin tidak faham dengan perjuangan BN yang lalu.
“Jika kita terus berkhayal bahawa pengundi akan undi BN kerana jasa kita, kita akan ada dalam masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Konvensyen Barisan Nasional Wilayah Persekutuan 2024, di sini hari ini.
Konvensyen itu dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Johari berkata, penyakit kedua ialah amnesia atau pelupa yang mana mereka terlupa matlamat perjuangan BN diwujudkan dan perjuangan oleh pejuang terdahulu.
“Kita lupakan perjuangan asal, mengapa nenek moyang kita termasuklah Tun Abdul Razak wujudkan BN serta panggil parti Gerakan yang dulu pembangkang masuk ke parti kita.
“Asas adalah perjuangan kita untuk bangunkan negara dan beri manfaat kepada rakyat. Kalau masih ada penyakit ini, kita akan terjerumus,” ujarnya.
Menyentuh mengenai penyakit ketiga, Johari memberitahu, ia dipanggil inertia iaitu enggan membuat perubahan atau pembaharuan dalam parti.
“Kita buat ‘bussines as usual’ dan sebab itu kita tak sedar. Saya pun tak sedar dan sebab itu saya kalah dalam PRU-14 meskipun lawan dengan orang yang tidak dikenali.
“Terakhir adalah sombong, sikap tidak boleh terima teguran dan tidak boleh berdepan dengan perbezaan pendapat, sikap tidak mahu mengaku kelemahan dan kesalahan serta tidak mahu bertolak asnsur,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Naib Presiden UMNO dan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menegaskan, beliau yakin BN akan kembali memerintah dengan cemerlang sekiranya semua ahli termasuk parti komponen bersatu hati untuk meraih kejayaan.
Katanya, BN juga perlu menyusun strategi bukan sahaja bagi mempertahankan kerusi dimenangi tetapi, merampas kawasan dikuasai pembangkang.
Sehubungan itu, beliau mahu kepimpinan BN meletakkan strategi bagi memenangi semula dua kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya dan Labuan yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).
“Saya nak minta kepada Pengerusi BN iaitu dua kawasan Labuan dan Putrajaya kita pernah menang untuk book (tempah) awal untuk BN bertanding dan mempertahankan.
“Yang lain, terserah kepada budi bicara Pengerusi BN untuk memikirkan bagaimana dapat bersama dalam Kerajaan Perpaduan khususnya dalam konteks lebih besar,” tambahnya. – MalaysiaGazette