KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mensasarkan bertanding lima kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang untuk mewakili Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan rakan dalam kerajaan perpaduan dalam usaha mengembalikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan putih bagi parti itu.
“Yang penting Wilayah Persekutuan mesti diputihkan dan saya mengharapkan bukan sekadar tiga kerusi di wilayah (BN menang) termasuk kawasan Datuk Jo (Johari Abdul Ghani Parlimen Titiwangsa), Putrajaya dan Labuan…Insyaallah kita berunding baik-baik kita akan dapat lima kerusi.
“Kita buktikan dengan cara baik sebagainana di PRK Nenggiri, Mahkota kita sekarang ini berada di ladum jam, mana-mana jam yang hidup, ladumnya akan ke bawah dan akan naik ke atas semula dan begitulah semangat yang ada pada BN.
“Siapa yang akan naikkan ladum ini ke atas, tidak ada orang lain kecuali UMNO, MCA, MIC, PBRS, Friends Of BN dan dengan kerjasmaa rakan-rakan lain dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen BN Wilayah Persekutuan 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN juga perlu kembali dominan dalam arena politik negara selepas PRU akan datang dan berhenti daripada bergaduh sesama sendiri.
“Cukuplah untuk timbulkan masalah dalaman sebab kita kena bersatu, keadaan sekarang ini budaya kita bukan budaya pembangkang, bukan budaya melukut ditepi gantang, kita kena kembali dominan wajib menang banyak kerusi.
“Kita perlu lupakan masalah titik bengik, kalau UMNO ada masalah kita selesaikan secara dalaman, kalau MCA, MIC ada masalah selesaikan secara dalaman, jangan bergaduh sampai depan halaman rumah.
“Saya yakin dengan kepimpinan parti dalam komponen BN sekarang kita cukup bersatu hati,” katanya.
Untuk rekod Wilayah Persekutuan mempunyai 13 Parlimen di mana 10 dimenangi Pakatan Harapan (PH) dua Perikatan Nasional (PN) dan satu BN dalam PRU15.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi tujuh menteri dan timbalan menteri BN dalam Kerajaan Perpaduan walaupun ada pihak mengatakan parti itu sekadar pelengkap kepada kerajaan.
“Saya berpuas hati dengan prestasi tujuh menteri BN dan juga timbalan menteri, apabila kita menjalankan tugas dengan baik apabila diberi amanah,” ujarnya. – MalaysiaGazette