KUALA LUMPUR – Agenda berkaitan pemilihan calon Perdana Menteri dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) antara yang akan dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu pada 9 Disember ini.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau berkata, ini merupakan isu panas dan perlu segera diselesaikan bagi memberikan kemenangan PN dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Saya tidak nampak ini akan melemahkan perhubungan di antara parti komponen walaupun kita ada perbezaan pandangan serta cadangan.
“Ini adalah perkara biasa seperti saya katakan dalam ucapan Persidangan Perwakilan baru-baru ini, memang kita satu gabungan, namun,matlamat kita tetap satu iaitu menangkan PN dlm pilihan raya akan datang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2024, Menara PGRM, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Gerakan kekal pendirian untuk meletakkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu pada pilihan raya akan akan datang.
Malah Dominic berkata, Muhyiddin juga sesuai untuk kekal menjadi poster boy berdasarkan pengalamannya sebelum ini sebagai Perdana Menteri ke lapan.
Mengulas lanjut katanya, ketika ini tiada parti politik mampu memperoleh sejumlah 112 kerusi tanpa gabungan bagi membentuk sebuah kerajaan yang kukuh.
“Sebagai komponen parti, kita pun bangkit dengan pendirian sendiri bahawa saya tidak setuju guna nombor pada Ahli Parlimen atau bilangan ahli yang diadakan bagi lantikkan Perdana Menteri.
“Sekarang ini kalau kita nak tubuhkan kerajaan perlu ada gabungan bersama, mana boleh kata satu parti sahaja yang ada majoriti dan ahli parlimen itu jadi Perdana Menteri.
“Kalau ikut pandangan kepada pemilihan majoriti tanpa ada sokongan dari ahli parlimen, Perdana Menteri sepatutnya datang dari parti DAP kerana ada 40 ahli dalam Parlimen,” jelasnya.
Terdahulu, Pas menafikan nama Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dalam PRU-16 berikutan belum ada sebarang keputusan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) bagi menentukan perkara berkenaan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh membelakangi Pas dalam menentukan jawatan penting tersebut melainkan ia adalah keputusan yang dipersetujui secara bersama.
Katanya, sekarang terbukti banyak kepincangan di dalam Bersatu dan mereka perlu insaf mengenai hakikat dan kedudukan tersebut. – MalaysiaGazette