BAYAN LEPAS – Dua wanita antara 17 individu ditahan bagi membantu siasatan kejadian merusuh dekat Queens Waterfront Q1, di sini, semalam.
Difahamkan, pergaduhan kira-kira jam 2 pagi itu berpunca daripada salah faham antara sepasang kekasih.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa berlaku pergaduhan kecil antara dia dengan teman wanitanya selepas melihat lelaki lain bersama wanita itu.
Jelasnya, wanita itu berjaya leraikan pergaduhan tersebut dan pengadu kemudian menghubungi rakan dan ibunya untuk berbincang secara baik dengan teman wanitanya.
“Bagaimanapun ketika mereka tiba, datang sekumpulan lelaki yang dianggarkan 10 orang, menyerang serta memukul mangsa menggunakan topi keledar.
“Mangsa berjaya melarikan diri sebelum tampil ke balai polis membuat laporan dan susulan itu kita membuat tangkapan ke atas dua wanita dan 15 lelaki berusia 19 hingga 40 tahun ditahan di sekitar negeri ini.
“Turut dirampas lima topi keledar disyaki digunakan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataaan media hari ini.
Tambah Sazale, kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette